AHLAN WASAHLAN

Salam Ihtiram buat para pengunjung yang sudi berkunjung ke laman ini. Semoga kalian mendapatkan sesuatu yang bermanfaat setelah meninggalkan laman ini. Sebarang cadangan dan komen yang membina adalah amt dialu- alukan dalam rangka berhijrah ke arah yang lebih baik... Mari bersama kita kejar manisnya Cinta Ilahi.. Insya Allah

Halaman

Jumaat, 23 Disember 2011

Bismillahirrahmanirrahim

Diari Wafa Siri 3


Keesokan harinya, melalui Muhaimin, seorang akhi di kuliahku yang juga merupakan salah seorang AJK Musolla Al Muttaqin, aku mendapat tahu duduk perkara yang sebenar. “ Wafa, ana langsung tak berniat nak memburuk- burukkan Z, tetapi memandangkan enti dah bertanya, dan enti juga menjawat jawatan yang kedua penting selepas Z, jadi ana rasa enti patut tahu.” Muhaimin menjelaskan kepadaku setelah aku membuka bicara merisik keadaan muslimin mengenai sejauh mana tindakan yang telah mereka lakukan untuk pelaksanaan Program Maal Hijrah yang akan berlangsung tiga minggu dari sekarang. Walaupun hakikatnya aku telah mengetahui serba sedikit daripada Z, firasatku menyatakan ada sesuatu yang tidak kena. Tidak mungkin masalah yang terjadi ini hanyalah disebabkan kesalahan semua ikhwan itu sahaja, sudah tentu mereka mempunyai alasan atas apa yang terjadi.

“Ok, enta cerita. Insya Allah ana dengar dan percaya.”

Aku bersuara untuk memberi keyakinan kepada Muhaimin bahawa aku bebas daripada sebarang prasangka buruk terhadapnya. Masakan tidak, Muhaimin telah ku kenali sewaktu di zaman persekolahan menengahku, aku tidak meraguinya kerana peribadinya yang bersih. Dia sukar didekati kerana sifatnya yang sangat pemalu, mungkin lebih daripadaku.

Hari itu, aku terpaksa menebalkan muka untuk bertanya dengannya kerana agak sukar untukku bertemu dengan AJK Musolla muslimin yang lain memandangkan hanya dia yang sekuliah denganku.

“Sebenarnya begini,….” 
Agak kekok, Muhaimin menjelaskan serba sedikit kepadaku. Tepat seperti yang ku jangkakan, masalah ini bukanlah berpunca daripada mereka para ikhwan, tetapi kebanyakannya adalah disebabkan oleh sikap Z yang aku rasa patut diperbaiki.

“Baiklah, syukran ya enta. Kalau enta mampu, cuba nasihatkan Z. Insya Allah, ana akan tolong setakat yang ana mampu.”

Aku menyatakan harapanku supaya Muhaimin dapat membantu. Aku tahu mungkin sukar baginya, disebabkan sifat pendiam dan pemalu yang wujud dalam dirinya itu, tetapi aku merasa harus memberikan sedikit kepercayaan kepadanya memandangkan kami pernah berada dalam rumpun tarbiyyah yang sama, juga di dalam satu jemaah. Sudah tentu dia lebih memahami jalan pemikiranku berbanding ikhwan yang lain.

Thahirah yang juga merupakan AJK musolla merangkap teman baikku di kolej matrikulasi ini tersenyum lucu melihat kelakuan Muhaimin yang sudah merona merah pipinya. Betul- betul terbalik dengan keadaan kami! Dahiku berkerut memikirkan jalan keluar. 

Tiba- tiba,Thahirah menepuk lenganku. Lamunanku putus seketika. Aku memandang Thahirah dengan pandangan yang kosong. Mataku mengisyaratkan soalan seolah- olah bertanya kenapa?

 “Muhaimin cakap, Insya Allah dia akan bantu awak. Dia tanya ada apa- apa lagi tak?”

Terkejut aku mendengar kenyataan Thahirah. Sejurus ku pandang Muhaimin. Wajahnya yang cerah sudah berubah warna.

“Ya Allah, maaf enta. *Jazakallah atas maklumat tadi. Assalamualaikum.”

Aku cepat- cepat berlalu kerana dihinggap rasa malu. Kalau terus di situ, mungkin aku sudah pengsan agaknya. Aku melangkah panjang- panjang meninggalkan tempat itu. Thahirah terkejar- kejar dan memanggilku supaya memperlahankan sedikit langkahku.

Setelah agak jauh daripada Muhaimin, aku memperlahankan langkah supaya Thahirah dapat bersaing denganku. Sebelum Thahirah melancarkan serangan amarahnya yang dibuat-buat, aku terlebih dahulu memulakan bicara,

”Alah, sorry la Thahirah, malu la tiba- tiba mengelamun tadi, tu saya jalan cepat- cepat. Sorry k"

aku membuat muka seposen, minta dikasihani.

“Wafa memang, dah kenal. Tak payah cakap tak apa. Ha, satu lagi. Tak payah nak buat muka kesian sangatlah,”

Thahirah sudah dapat membaca taktikku. Aku hanya tersenyum. Aku tahu, dia tidak ambil hati dan sekadar bergurau. Dia juga sudah mula memahami sikapku walaupun hanya beberapa bulan kami baru bersama.

Thahirah pada awalnya bukanlah bersekolah di sekolah agama, jauh sekali mendapatkan tarbiyyah Islamiyyah sebagaimana yang telah ku peroleh di madrasahku. Namun, hatinya yang berhajatkan pada kebaikan ternyata telah memautkan pula hatiku kepadanya. Makin hari, makin sayang semata- mata kerana Allah jua. Aku berazam untuk menjadi seorang sahabat yang baik juga menjadi mentari bukan sahaja kepada Thahirah, malah kepada ummah ini. Aku akui, masih banyak keaiban diri ini, masih bertompok karat- karat jahiliyyah yang melekat pada dinding hati, namun aku masih berharap untuk menjadi mentari yang tetap bersinar kepada ummah ini. Aku berazam untuk terus memperbaiki diri.

“Ha, mengelamun lagi ke Wafa? Jangan kata awak teringat kat Muhaimin pula,” 

Suara Thahrah separuh bergurau. Aku tidak ambil pusing. Kepalaku sedang ligat mengatur strategi.

“Bukan beranganlah sayang, tengah berfikir apa nak buat ni.”

Thahirah kagum dengan semangat Wafa. Walaupun hanya memegang jawatan yang kecil di kolej mereka, ketekunannya bekerja mengalahkan majlis perwakilan pelajar. Sahabatnya itu juga yang sering bersabar dengan kerenahnya sekiranya dia melakukan kesalahan. Sekiranya dia marah- marah atau naik angin, Wafa hanya mendiamkan diri untuk tidak mengeruhkan keadaan. Kadang- kadang, tekanan studi menjadikan Thahirah bersikap dingin, tetapi kesabaran dan kelembutan Wafa membuatkan Thahirah bertekad untuk mengubah sikap buruknya itu. Dia juga berazam untuk menjadi wanita solehah seperti sahabat yang dikaguminya itu. Masih terngiang- ngiang di telinganya sepotong hadis yang sering diulang- ulang oleh Wafa sebagai peringatan mereka bersama.

‘Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik- baik perhiasan adalah wanita solehah’

“Ish Thahirah, awak dengar tak saya tanya ni? Tengok dia pula yang termenung,” 

Aku hairan melihat tingkah sahabatku yang tiba- tiba mendiamkan diri.

“Kata-kata mukmin itu zikir, diamnya adalah fikir. Saya tengah berfikir betapa cantiknya susunan Allah.” 

Thahirah membalas hikmah.

Tersenyumku mendengarnya. Nampaknya sedikit sebanyak tarbiyyah itu telah mula mengesani jiwa sahabatku. Lafaz tahmid bergema di hati.

“Betul Thahirah. Aturan Allah cukup cantik. Setiap makhluk yang diciptakan mempunyai tujuan dan keistimewaan tersendiri.  Allah tidak pernah menjadikan sesuatu itu sia- sia. Apa sahaja yang ditetapkan pasti ada hikmahnya tersendiri.”  

Aku mengambil peluang untuk membajai jiwa sahabatku itu dengan mutiara tarbiyyah.

“Walaupun kadangkala ianya buruk pada pandangan manusia kan Wafa?” 

Thahirah menambah.

“Betul tu sahabat. Allah berfirman dalam surah al- Baqarah ayat 216 yang berbunyi,

 ‘Boleh jadi kamu membenci sesuatu, sedangkan ia baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui’

“Walaupun ayat ini pada asalnya diturunkan kepada kaum muslimin yang tidak mahu berperang, tetapi kita boleh menjadikannya sebagai iktibar. Allah sudah mengatur yang terbaik bagi kita. Sama ada bahagia atau derita, susah atau gembira, berbekalkan keimanan kepada Allah, kita akan mampu menerima apa jua takdir Allah pada kita, Insya Allah.”

Perjalanan pada petang itu lebih bermakna apabila hati dibawa untuk mengingati Allah.

Ketika sampai di perkarangan asrama, Thahirah sempat berkata,

“Thank ye Wafa atas nasihat tadi dan terima kasih juga kerana sudi jadi sahabat saya” 

Ada keharuan pada nada itu.

Aku hanya membalas dengan anggukan diiringi senyuman. Ku tepuk- tepuk bahu sahabatku itu, menyalurkan sedikit kekuatan sebelum meneruskan perjalanan mendaki anak tangga untuk menuju ke bilikku di tingkat yang paling atas, tingkat 4.

Malam itu, aku mendapat SMS daripada Z lagi, menceritakan keadannya. Masih perkara yang sama. Aku sudah memikirkan jalan yang terbaik untuk menegur sikap Z. Tidak lain dan tidak bukan, mestilah melalui jalan yang hikmah dan bijaksana.

‘Dan serulah mereka ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan bijaksana. Dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik.

Z sebenarnya boleh dikategorikan sebagai lelaki yang baik. Dia selalu bersolat jemaah di musolla, gemar memberi bantuan kepada para pensyarah dan rakan- rakan sekelasnya, terutama pelajar muslimat. Mungkin niatnya baik, namun sikapnya itu tidak berapa disenangi oleh pelajar- pelajar muslimin yang lain, terutama pelajar- pelajar muslimin yang dikenali kerana kewarakannya. Pelajar- pelajar lelaki yang nakal pula menganggap Z sebagai kaki bodek dan sengaja mahu mendapatkan perhatian pelajar perempuan dengan kebaikannya. Begitulah cerita yang ku dengar daripada ahli dormitoriku yang kebetulan merupakan kawan sekelas Z.

Menurut Muhaimin, Z juga mendapat pendidikan di sekolah agama. Tetapi Muhaimin juga tidak dapat mengesan bagaimanakah bentuk tarbiyyah di sekolah lama Z. Antara sebab lain Z kurang disenangi oleh pihak muslimin adalah kerana Z sukar menerima pendapat atau cadangan orang lain. Dirinya sahaja yang difikirkan betul. Sekiranya hitam katanya, hitamlah jawabnya. Tidak ada sesiapa yang boleh membantah. Lebih- lebih lagi, apabila dia dilantik sebagai pengarah program dalam majlis sambutan Maal Hijrah ini, maka dia menggunakan kuasa vetonya untuk mengarahkan semua AJK mengikut arahannya tanpa mengambil kira pandangan atau pendapat yang diutarakan oleh sahabat- sahabat yang lain.

Tiba- tiba, aku tersedar sesuatu perkara. Ketika pelantikan ahli jawatankuasa program, hanya beberapa orang pelajar muslimin yang menyokong pelantikan Z. Z memenangi undian kerana majoriti pelajar muslimat bersetuju dengan pencalonannya. Aku terkecuali kerana aku tidak mengenali peribadi mana- mana AJK musolla muslimin selain Muhaimin yang merupakan sahabat lama di sekolah menengahku. Maka aku hanya mengambil keputusan untuk tidak menyokong semua calon muslimin yang dicadangkan semasa pelantikan tersebut dibuat.

Aku mula menyusun kata- kata yang baik untuk membalas sistem pesanan ringkas yang dihantar oleh Z. Aku mesti berhati- hati agar ucapanku tidak menyinggung orang yang dinasihati. Aku melihat Z dari sudut kaca mata dakwah dan apa yang dapat ku kesan, Z sebenarnya masih gagal memahami kepentingan sebuah jemaah dalam melaksanakan gerak kerja Islam.

“Sesungguhnya Islam itu bermula dengan seorang, iaitu Rasulullah s.a.w. Lalu baginda s.a.w membentuk sebuah jemaah yang dianggotai oleh kaum kerabat baginda dan para sahabat terdekat.  Kemudian dari jemaah yang kecil inilah yang membawa perubahan yang besar kepada dunia Islam.”

Ternyata banyak manfaatnya apabila sesuatu kerja dijalankan secara berjemaah.

“Ana teringat satu kata- kata hikmah daripada seorang ulama’: Kambing yang seekor lebih mudah diterkam serigala berbanding kambing- kambing yang berada dalam satu kumpulan.”

“Ertinya di sini, orang yang berseorangan dalam melakukan kebaikan khususnya akan lebih mudah dihinggap penyakit malas, lemah, dan putus asa serta dihanyutkan oleh arus jahiliyyah berbanding mereka yang berada di dalam jemaah untuk melaksanakan kerja- kerja Islam.”

Begitulah antara mesej- mesej yang ku sampaikan kepada Z. Aku berharap sedikit sebanyak ia dapat mengetuk pintu hatinya untuk berubah.

“Sekiranya seseorang itu mendapat hidayah lantaran kamu, maka kurnia bagimu adalah lebih baik dari seluruh dunia dan seisinya.”

Aku memandang Z sebagai madu’ yang berpotensi besar untuk menyumbangkan tenaganya kepada dakwah Islam sekiranya mendapat kefahaman Islam yang sebenar. Aku tak lupa meminta pandangan sahibah- sahibah seperjuangan di sekolah lamaku. Lalu, salah seorang daripada sahibahku, Humairah mencadangkan agar aku memperkenalkan Z dengan bekas pelajar muslimin yang begitu alim dan berwibawa di sekolahku dulu, Asyraf Saifullah. Umur kami sebaya. Sahabat kami yang lebih mesra dipanggil Saifullah juga merupakan bekas timbalan ketua pelajar di sekolahku. Akhlaknya dikagumi dan ucapannya sering membekas pada hati- hati mereka yang mendengar ucapannya. Jiwanya sarat semangat dakwah, kebijaksanaannya juga diakui kerana setiap kali peperiksaan, dia akan memegang tempat pertama malahan Saifullah juga merupakan pelajar SPM terbaik dalam ‘batch’ kami apabila berjaya mendapatkan 11A1 bagi sebelas mata pelajaran yang diduduki.

Dalam masa yang sama, aku semakin mengenali Z. Walaupun bersekolah di sebuah sekolah agama, namun sistem tarbiyyah di sekolahnya tidak dapat dikendalikan dengan baik kerana pertambahan generasi pelajar baru yang kurang memahami matlamat tarbiyyah yang dijalankan oleh pihak sekolah sedangkan generasi yang memahami sudah pun berkurangan setelah  bertebaran di serata tempat di atas muka bumi Allah.

Tanpa ku sedar, syaitan telah mula memperdayakanku. Aku yang selama ini agak sukar untuk berkomunikasi dengan lelaki begitu mudah membalas setiap pesanan ringkas yang dihantar oleh Z lewat telefon bimbitku. Aku terlupa bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Meskipun kebanyakan mesej yang dihantar lebih menjurus megenai persoalan agama, tetapi adakalanya terselit perkara- perkara yang tidak perlu dijadikan topik perbincangan antara yang bukan mahram. Sekali sekala, Z ada juga menghubungiku dan aku menganggapnya sebagai sahabat dan madu’ yang perlu dibantu.

Tidak cukup dengan itu, dia juga cuba menambahku ke dalam senarai temannya di Facebook, laman sesawang yang tidak ku nafikan sangat popular dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Facebook menjadi sesuatu yang bermanfaat sekiranya dijadikan medan untuk diskusi ilmu yang menyuburkan akal dan menyajikan rohani dengan tazkirah yang baik sebaliknya ia membuka lorong kepada kemaksiatan apabila kemudahan yang ada ini disalahgunakan.

Namun semakin lamaku sedar, hatiku mula rasa tak keruan. Gosip- gosip liar mula dicanang. Aku cuba buat tak peduli. Aku menganggapnya sebagai ujian di medan dakwah. Aku masih gagal untuk melihat bahawa itu adalah salah satu bentuk teguran daripada Allah s.w.t. kepadaku. Betapa gelapnya hatiku ketika itu.

Entah kenapa, semakin hari hatiku semakin resah. Aku diburu rasa bersalah.  Pelajaranku juga terganggu. Aku mencari ruang untuk muhasabah diri.

‘Tahukah antum, apakah yang boleh antum kenalpasti sebagai dosa? Dosa itu adalah apabila antum berasa bersalah ketika melakukan sesuatu dan antum tidak suka orang lain melihat antum melakukan perbuatan tersebut. Itulah dosa.’

Tiba- tiba, ucapan *murobbiku di zaman persekolahan dulu menjengah fikiran. Sewaktu itu, aku menghadiri ijtima' am, satu perhimpunan khas berbentuk ceramah umum yang dilaksanakan di sekolahku pada setiap hari jumaat dan wajib diikuti oleh semua pelajar daripada tingkatan satu sehingga di tingkatan lima. Selain membentuk halaqoh, di situ jugalah kami meneguk ilmu tentang Islam dan mengaut sebanyak mungkin mutiara- mutiara tarbiyyah sebagai bekal dalam perjalanan hidup yang masih panjang.

Hatiku terusik. Aku tergerak untuk memahami masalah *ikhtilat dengan lebih jelas. Aku ‘search’ di internet, membuka kitab- kitab *Imam- Imam Muktabar dan tiba- tiba aku teringatkan Saifullah. Nombor telefonnya ada dalam simpananku ketika mana dia menghantar mesej kepadaku meminta kepastian mengenai kehadiran ke program ‘reunion’ pelajar- pelajar ‘batch’ kami. Entah dari mana dia mendapatkan nombor telefonku tidak ku pasti, mungkin dia ada menyimpan ‘database’ semua pelajar Maahad Ibn Qayyim sewaktu menjadi timbalan ketua pelajar dahulu.

Serba sedikit ku ceritakan keadaanku kepada Saifullah melalui sistem pesanan ringkas. Tidak lama selepas itu, ku terima balasan.

‘Enti besederhanalah dalam perhubungan, jangan terlampau mesra dan jangan terlampau sombong. Jawab sekadar apa yang ditanya. Selalu duduk dalam kelompok sahibah sebab sahabat akan malu. Jaga hubungan dengan Allah dan waspada terhadap media henset dan internet.’

Masya Allah, kata- kata Saifullah memang sangat tepat dengan keadaanku. Ternyata dia benar- benar memahami situasiku. Aku lemah ketika mana dosa ini terasa begitu menyucuk- nyucuk jiwaku. Aku memberitahu Saifullah cadangan untuk memperkenalkan Z dengannya bagi memudahkan Z mendapat tarbiyyah Islamiyyah yang *syamilah. Aku tidak boleh membimbingnya kerana ia hanya akan menimbulkan fitnah pada kami dan juga masyarakat sekeliling yang sedang cuba ku bawa untuk menuju Islam.

Saifullah bersetuju membantuku. Ternyata berurusan dengan sahabat sefikrah lebih memudahkan. Tidak perlu banyak bicara, hanya sedikit kata- kata sudah menjadikan kami saling memahami antara satu sama lain kerana kami diproses dalam rumpun tarbiyyah yang sama. Itulah istimewanya sahabat- sahabat seperjuangan di madrasahku itu. Bagiku, mereka tiada galang gantinya. 

Program sambutan Maal Hijrah yang telah kami rencanakan akhirnya berlangsung jua dengan jayanya. Apa lagi yang hendak dipanjatkan kepada Allah selain kalimah kesyukuran. Walaupun program telah selesai, Z masih menghubungiku, membuatkanku semakin tidak selesa. Kemudian ku ambil keputusan untuk menjelaskan kepada Z ketidakselesaanku. Aku menerangkan kepadanya satu persatu agar dia memahami bahawa perhubungan antara lelaki dan perempuan itu adalah haram tanpa keperluan yang mendesak. Aku juga memberitahu niatku untuk memperkenalkannya dengan Saifullah kerana ku yakin, Saifullah akan membimbingnya dengan lebih baik. Bermacam- macam alasan yang diberikan oleh Z untuk menjawab setiap kenyataanku. Dia tidak membenarkanku memberi nombor telefonnya kepada Saifullah. Dia hanya mahu berhubung melalui Facebook. Aku cuba berbaik sangka.

‘Mungkin Z perlukan masa untuk menerima Saifullah’

Aku merasa kasihan kepadanya lalu masih berlembut. Tetapi dalam kelembutanku, ada ketegasan. Aku melarangnya menghubungiku sama ada melalui mesej atau telefon melainkan benar- benar ada urusan yang tidak dapat dielakkan.

Namun, laranganku tidak begitu diendahkan. Dia masih menghantar mesej yang ku kira boleh dibincangkan sesama yang mahram. Cadanganku untuk memperkenalkannya dengan Saifullah juga disambut dingin.

Aku kemudiannya cuba untuk mendapatkan bantuan Muhaimin bagi membimbing Z memandangkan dia adalah satu- satunya sahabat di madrasahku dahulu yang terdekat denganku kini. Namun, kesibukan dalam pelajaran telah dijadikannya sebagai alasan untuk tidak turun padang membantuku dalam kerja- kerja dakwah yang sememangnya memerlukan tenaga syabab sepertinya dalam situasiku sebegini sementara Z terus- terusan menggangguku. Hatiku sedikit tercalar dengan sikap Muhaimin, hanya pada Allah ku mengadu segala kesusahan yang ku hadapi. Ditambah pula dengan pelbagai cerita yang tidak enak sampai pada pendengaranku maka sudah tentu ia mencalarkan imejku sebagai seorang pembawa panji kalimah Allah. Aku tidak mahu Islam terfitnah kerana aku!

Akhirnya, tiada lagi istilah kelembutan. Buat kali terakhir ku angkat panggilannya, terlahirlah ketegasan pada suaraku. Ketegasan sepertimana aku menghadapi sahabat- sahabat muslimin di sekolahku dulu. Imanku yang telah lama menderita akhirnya mula bersuara. Setelah itu, ku 
menghantar mesej yang terakhir,

‘Maaf selama ini persahabatan kita tidak diredhai oleh Allah. Apabila berhubung seorang lelaki dan seorang perempuan tanpa keperluan yang mendesak maka syaitan adalah yang ketiganya. Matlamat kita adalah untuk mencari redha Allah, tetapi cara yang kita gunakan tidak selari dengan syariat. Inilah yang ana maksudkan matlamat tidak menghalalkan cara. Maka, syaitan telah menipu kita dengan istilah persahabatan ini untuk menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah. Maaf ana khilaf dan melibatkan enta. Sekiranya enta benar- benar hajatkan pada tarbiyyah, enta cari Saifullah. Ni nombor telefonnya, 0198382787. Ana tidak meninggalkan enta terkapai- kapai tetapi ana tinggalkan enta dengan seorang sahabat yang ana yakini agamanya dan jauh lebih baik dari ana. Jangan hubungi atau mesej ana lagi selepas ni. Cukuplah atas dosa- dosa semalam. Assalamualaikum.’


To be continue.. ^_^

 Glosari
1) Jazakallah: Terima kasih
2) Murobbi: Guru, Pendidik
3) Ikhtilat: Pergaulan( antara berlainan jantina)
4) Syamilah: Menyeluruh meliputi semua aspek
5) Imam- Imam Muktabar: Para Ilmuan Islam yang ulung

Jumaat, 9 Disember 2011

Diari Wafa 2

 Bismillahirrahmanirrahim...

Diari Wafa.. Siri 2



Dalam kesibukanku meneroka ilmu, bebanan tugas yang ku pikul sebagai Biro Kerohanian tidak ku lupakan. Aku merasakan ini adalah satu amanah dari Allah untukku memimpin mereka di sekelilingku ke arah kebaikan, di samping menjadi faktor yang akan membantuku mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran. Aku jadi teringat kalam hikmah dari guruku, Ustaz Khairul Amilin yang sebenarnya disandarkan kepada apa yang terkandung di dalam Al Quran.

‘Sesiapa yang menolong agama Allah, nescaya Allah akan menolongnya dan memperteguhkan pula kedudukannya.’ Muhammad: 6

Mengajak manusia melakukan maaruf dan menghindari kemungkaran adalah satu bentuk pertolongan untuk menegakkan deen Allah. Sekiranya dilakukan dengan ikhlas dan benar- benar mengharapkan kasih sayang dari Allah, sudah tentu Dia tidak akan berkira untuk membantu hambaNya yang telah memperjuangkan jiwa dan harta demi deenNya.

Lalu, itulah yang cuba ku lakukan. Menzahirkan keindahan Islam pada diri seterusnya menjadikan ia indah pada sisi masyarakat sehingga mereka terdorong untuk membumikan Islam dalam kehidupan.

Merealisasikan cita- cita yang sarat dengan semangat dan harapan ini bukanlah sesuatu yang mudah, malahan ia memerlukan kerja berjemaah untuk memudahkan perjuangan. Agar ketika ditimpa lemah, akan ada yang menguatkan, jika tersilap langkah akan ada yang mengingatkan, saat tertegak yang haq, kebatilan itu akan sama- sama kita jatuhkan.

Dalam tak sedar, aku telah membuat kesilapan. Hal ini kerana aku adalah manusia biasa yang pastinya tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Ketika jiwaku menyala dengan semangat dakwah, aku telah berkenalan dengan seorang pemuda yang boleh ku kira baik akhlaknya. Sentiasa sahaja menghulurkan bantuan kepada sesiapa yang memerlukan sehingga hatiku tertawan untuk mencontohi keperibadiannya.

Persahabatan kami bermula ketika kami mengadakan *syuro sesama ahli jawatankuasa surau untuk pertama kalinya bagi membincangkan beberapa aktiviti yang difikirkan sesuai sempena menyambut hari maal hijrah yang bakal tiba. Dengan izin Allah, cadanganku untuk mengadakan Jejak Anbiya’ iaitu satu program berbentuk eksplorasi telah memancing minat ahli- ahli jawatankuasa yang lain untuk mempertimbangkan usulku. Aku diminta untuk memberi rasional atas aktiviti yang telah ku cadangkan pada saat itu juga. Mujurlah pengalamanku sebagai biro disiplin dan sakhsiah di madrasah lamaku dahulu sedikit sebanyak membantu untuk menangani situasi sebegini. Aku huraikan kepada mereka sedikit idea yang ada dalam fikiranku dari segi matlamat, objektif dan seterusnya cara pelaksanaan program dalam gaya bahasa yang mudah dengan harapan mereka juga dapat memahaminya dengan mudah.

Majlis syuro kami berjalan dengan lancar. Pihak AJK Musolla seterusnya telah memberi kepercayaan kepadaku untuk memegang amanah sebagai timbalan pengerusi  program. Secara kebetulan, pemuda itu pada awalnya telah dilantik sebagai pengerusi program. Maka, di situlah bermulanya episod persahabatan yang tidak pernah ku jangka akan dimanfaatkan oleh syaitan untuk memperdayakanku. Ya Allah, ampunilah aku.

Cukuplah aku namakan pemuda itu sebagai Z di sini. Atas keperluan untuk berbincang mengenai program sambutan maal hijrah tersebut, Z telah meminta nombor telefonku untuk memudahkan urusan kami. Untuk pertama kalinya dalam hidupku, aku menyerahkan sebaris nombor telefonku secara terpaksa kepada seorang lelaki. Memandangkan kami tidak berada di praktikum dan kuliah yang sama, mungkin hanya alat komunikasi ini yang dapat membantu kerja- kerja kami memandangkan kami masing- masing sibuk untuk lebih fokus pada studi berbanding hal- hal lain, namun prinsipku tetap ku teguhkan 

”Academic and tarbiyyah, both go parallel”

Syeikh Mustafa masyhur, seorang ulama kontemporari pernah berkata,

‘Tarbiyyah bukan segala- galanya tapi segala- galanya dapat diraih dengan tarbiyyah.’

Tarbiyyah adalah satu proses pembentukan jiwa untuk merasa dekat dengan Allah. Proses tarbiyyah ini harus dilalui oleh semua peringkat dan golongan manusia tanpa mengira batas usia, miskin atau kaya, agar hati yang sentiasa disuburkan dengan nilai- nilai Islam itu terus bergerak untuk mencintai Ilahi seterusnya meninggalkan kecintaan yang berlebihan kepada yang fana. Proses ini harus berterusan selagi hayat masih ada agar kita tidak lupa pada hakikat kejadian manusia di atas muka bumi Allah, tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mengabdikan diri kepadaNya semata. Apabila hati sudah erat dengan Pencipta, maka seluruh urusan kehidupan menjadi mudah. Hatta sebesar manapun ujian yang menimpa, keyakinan pada Allah tidak pernah sirna, malahan ia menjadi penyebab untuk terus mendekatiNya. Begitulah pentingnya tarbiyyah dalam pembentukan peribadi seorang mukmin.

 Jika dimbau zaman persekolahan, aku dikenali sebagai pengawas yang paling tegas dalam kalangan muslimin di sekolahku. Sebolehnya, mereka akan mengelak untuk berurusan denganku walau pada hakikatnya aku tidak pernah sekali pun meninggikan suara apabila berbicara dengan mereka, terutama sekali bagi pelajar- pelajar muslimin yang agak nakal. Kebiasaannya, aku hanya berurusan dengan pelajar- pelajar muslimin yang disegani dalam kalangan pelajar, membuatkan hatiku terasa lapang dan perbincangan menjadi mudah.

Alhamdulillah mungkin berkat tarbiyyah yang aku lalui di madrasah itu menjadikan aku sebagai seorang muslimah yang cukup pemalu. Sunggguh, bukanlah niatku untuk membangga diri, tetapi inilah sifatku yang selalunya menjadi perisai kepada kejahatan dan adakalanya menjadi satu titik kelemahan padaku apabila tidak kena pada tempatnya.

Pernah sekali aku terpaksa berhadapan dengan ketua pelajar untuk membincangkan beberapa masalah pelajar yang agak membimbangkan. Memandangkan ia adalah diskusi yang agak berat, maka satu mesyuarat sulit telah diadakan antara ketua pelajar dan timbalan ketua pelajar beserta beberapa orang pengawas yang terpilih termasuklah aku. Walau malam pada waktu itu masih muda, namun kedinginannya terasa mencengkam sehingga ke tulang.

Perbincangan pada malam itu dimulakan oleh pihak muslimin dengan sedikit ucapan alu-aluan dan objektif mesyuarat daripada ketua pelajar. Tanpa disangka- sangka, ketua pelajar mengarahkanku untuk memulakan pembentangan mengenai permasalahan yang dihadapi oleh pelajar pada waktu itu memandangkan aku adalah orang yang bertanggungjawab dalam hal ehwal disiplin para pelajar. Malu mula menyelubungi diri walau aku bukan berseorangan ketika itu. Peluh- peluh dingin merenik di dahi. Aku merasa kerdil pada pandangan mereka kerana yang ada di sekelilingku bukan calang- calang orang malahan kebanyakan mereka terdiri daripada ahli jawatankuasa tertinggi pengawas. Terketar- ketar aku ingin memulakan bicara. Semua idea yang tersimpan dalam kepalaku sebelum ini untuk ku huraikan dalam mesyuarat tersebut telah hilang sama sekali.  Mujurlah sahabat baikku yang kebetulan adalah timbalan ketua pelajar muslimat menyedari perubahan air mukaku dan cekap mentafsir perasaanku. Dia membisikkan kata- kata semangat kepadaku dan memintaku mengalunkan surah Insyirah. Wardah memulakan bicara merujuk kepada catatan yang telah ku tulis dalam buku catatan khas yang sering ku bawa setiap kali adanya mesyuarat pengawas sementaraku mengambil masa untuk menenangkan diri.

Setelah berhasil mencapai ketenangan dan dapat mengatasi rasa malu yang masih membalut hatiku, aku mendapat sedikit kekuatan untuk meneruskan bicara dan akhirnya perbincangan itu menemui solusinya. Pihak muslimin juga seakan- akan dapat membaca situasiku. Mereka memohon maaf kerana telah memberikan soalan yang mengejut kepada pihak muslimat. Perasaan maluku ketika itu hanya Allah yang tahu, namun dalam masa yang sama aku bersyukur kerana mereka memahami dan tidak menjadikan kelemahanku sebagai alat untuk merendah- rendahkanku.

Berbalik kepada kisah Z, dia telah menghantarkan SMS yang ringkas kepadaku pada suatu hari dimulakan dengan ucapan salam dan bertanya khabar seterusnya bertanyakan perkembangan pelan pelaksanaan program di pihak muslimat. Alhamdulillah, bagiku semuanya berjalan lancar kerana *akhowat di sekelilingku memberikan kerjasama yang baik. Aku menganggap di pihak muslimin sama situasinya seperti muslimat, namun apa yang terjadi sebaliknya.

Z merungut menyatakan *ikhwan seperjuangan tidak memberi kerjasama. Aku hanya mampu menasihatinya agar bersabar dan memikirkan jalan yang terbaik untuk menghadapi mereka, sementara aku menanamkan tekad untuk menyiasat  hal yang sebenarnya telah terjadi dalam kalangan muslimin. Aku bimbang sekiranya masalah ini dibiarkan berlarutan, pelaksanaan program ini akan terganggu seterusnya menggagalkan perancangan yang telah diatur rapi sedangkan inilah peluang untuk kami menyampaikan fikrah Islam yang sebenarnya kepada masyarakat pelajar di sekeliling yang majoritinya beragama Islam.

Glosari

1) Syuro- Mesyuarat
2) Akhowat- Sahabat2 perempuan
3) Ikhwan- Sahabat2 lelaki
4) Musolla- surau 

Setakat ini dahulu,,, to be continue.... Teruskan kesetiaan kalian membaca ye.. ^_^

Khamis, 24 November 2011

Bismillah...
Salam satu ummah buat sahabat- sahabat pengunjung yang sudi berziarah ke laman ini. Alhamdulillah setelah sekian lamanya tidak mencoretkan sesuatu di sini, hari ini Allah membuka peluang untuk ana berkongsi sesuatu dengan kalian, Baru- baru ini, ana selesai menduduki peperiksaan akhir semester di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan. Mohon doa kalian untuk kecemerlangan ana dan sahabat- sahabat dalam peperiksaan tu ye.

Hari ini, ana mengambil kesempatan untuk berkongsi dengan kalian sebuah cerita, walaupun hanya sekadar rekaaan, moga ia dapat menjadi ibrah untuk kita semua kerana ia tidak mustahil terjadi dalam realiti kehidupan kita.

Selamat membaca sahabat- sahabat...
Terimalah daripada ana

DIARI WAFA



Bila mengimbau dosa- dosa semalam, sesungguhnya ia benar- benar mencengkam perasaan. Andainya waktu boleh ku undur, tak inginku terjebak ke dalam kancah maksiat itu. Ternyata Allah Yang Maha Rahim itu masih menyayangiku bila mana didatangkan dalam diri ini rasa sesal atas kesilapan yang telah dilakukan.

Ya Allah, ampunilah aku. Aku ingin seperti dulu, merasai manisnya berada dalam pautan cintaMu. Tak ingin ku tertipu lagi dengan bisikan- bisikan halus syaitan yang begitu bijak memujuk rayu manusia melakukan kejahatan, sehingga kejahatan itu dijadikan indah pada pandangan manusia- manusia yang alpa sepertiku.

Hampir 4 tahun lamanya aku mentarbiyyah diri dengan nilai- nilai Islami di bumi wakafan Maahad Ibn Qayyim. Alhamdulillah, proses tarbiyyah itu berjaya membenihkan harapan dan cita- cita dalam jiwaku untuk menjadi wanita solehah harapan ummah. Melalui program ibu bapa angkat yang dilaksanakan di sekolahku beserta guru- guru yang tidak jemu- jemu mencurahkan tarbiyyah Islami dalam program- program halaqah, rehlah, muhasabah, dan banyak lagi, aku mempunyai sedikit keyakinan untuk melangkah ke dunia luar yang dikatakan begitu mencabar. Hanyalah keimanan dan rasa cinta kepada Allah yang akan dapat membantu ku menongkah sketsa kehidupan.

Setelah keputusan peperiksaan SPM diumumkan, aku telah ditawarkan untuk mengikuti pengajian di Kolej Matrikulasi Balik Pulau, Pulau Pinang. Detik- detik perpisahan yang tidak dinanti itu tiba jua.  Bercucuran air mata ku dan sahibah-sahibah, masing- masing sukar menahan gelora rasa. Kehidupan di Maahad Ibn Qayyim telah banyak mendewasakan kami. Di sana, kami mengharungi pahit maung kehidupan, di sana juga kami mereguk manis kebahagiaan. Segala susah senang, tawa dan duka kami kongsi bersama. Sesekali ukhuwwah kami digoncang badai sengketa, namun ia tidak pernah berpanjangan kerana kami telah bertekad bahawa persaudaraan yang terbina adalah berasaskan keimanan. Jadi, wajarkah perhubungan yang terbina atas dasar yang mulia ini dihiasi dengan permusuhan dan hasad yang tiada kesudahan? Lantas, saling bermaafan itu dijadikan amalan agar persahabatan yang terbina akan menjadi mahar untuk kami ke syurga. Pesanan Rasulullah s.a.w sentiasa kami jadikan azimat untuk menjaga hubungan antara kami

‘7 golongan yang akan dinaungi oleh Allah pada hari kiamat kelak yang mana tiada naungan selain naunganNya salah satunya adalah dua sahabat yang menjalinkan persahabatan kerana Allah, bertemu dan berpisah kerana Allah semata-mata’

Aku berada di dunia baru. Dunia IPT yang sungguh, ah tidak tahu bagaimana harus ku ungkapkan. Apa yang pasti, aku diserang kejutan budaya. Satu fenomena yang asing di IPT ini bagi pelajar- pelajar sekolah agama seperti diriku. Aku jadi tertanya- tanya, beginikah pemuda pemudi yang akan memegang tampuk pimpinan negara pada masa akan datang? Adakah dengan akhlak yang sebegini, Allah s.w.t akan memilih kita untuk bersama dalam gerombolan yang akan memperjuangkan kebangkitan Islam?

Saban hari, hatiku terus diruntun pilu. Kadang- kadang terbit perasaan untuk berlari meninggalkan semua ini. Terasa ingin kembali ke zaman persekolahan. Walaupun terikat dengan pelbagai peraturan yang adakalanya menyerabutkan, namun hatiku tenang di situ. Dikelilingi sahabat- sahibah yang soleh solehah, ditemani guru- guru  yang sentiasa senang mengalunkan tutur kata nasihat dan hikmah. Betapa hatiku terhibur dengan suasana itu. Suasana yang meriah dengan tazkirah untuk saling membimbing ke arah kebenaran. Aku jadi rindu. Terlalu rindu.

Di kolej matrikulasi ini, aku telah diamanahkan untuk menjawat amanah sebagai biro kerohanian Musolla Al Ayyubi. Pada mulanya, agak sukar kerana suasana di sini begitu asing bagiku, namun akhirnya aku akur, bahawa aku mesti mengubah suasana jahiliyyah ini, bukan hanya berharap untuk terus berada di dalam *biah solehah. Kalau aku terus menangis, bagaimana dengan tanggungjawabku sebagai dae’ah? Apakah yang dapat ku katakan kepada Allah apabila ditanya sumbanganku terhadap deen ini di padang Mahsyar kelak? Bagaimanakah bentuk jawapan yang harus ku berikan kepada Rasulullah ketika mana ditanya tentang tindakanku setelah terdengar seruan baginda s.a.w

"بلغ عني ولو أية"

Lantas ku kesat manik- manik jernih yang membanjiri pipi. Ku pasak teguh sebuah azam untuk membina impian.

‘Ya, aku adalah duta Islam! Agen perubah masyarakat! Aku mesti kuat demi Islam!’

Alhamdulillah, di sini Allah mempertemukanku dengan sahabat- sahabat yang *sefikrah, menjadikan Allah sebagai ‘ghayah’ dalam kehidupan, Rasulullah sebagai *qudwah dalam setiap tindakan. Rinduku pada sahabat- sahabat seperjuangan di Maahad Ibn Qayyim sedikit terubat dengan kehadiran mereka yang baru ku kenali ini. Walaupun baru seketika bersua, tetapi hati- hati kita seakan- akan sudah dirantai dengan simpulan kasih yang istimewa. Mungkin inilah rahsia apabila hubungan yang terjalin hanyalah kerana Allah semata- mata, bahagianya meresap jauh ke dalam jiwa.

Walau bagaimanapun, Allah s.w.t telah berfirman:

‘Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan “kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?’ Al ‘Ankaabut: 2

Lalu, ujian pertamaku bermula dengan sesuatu yang tak pernah ku duga. Namun, apa yang pasti *mehnah ini meninggalkan kesan yang mendalam pada jiwaku. Semoga Allah sudi mengampuni kekhilafanku dan menerima taubatku.

Glosari
Tarbiah : Didikan
Sefikrah : Satu pemikiran
Ghoyah : Matlamat
Qudwah : Tauladan

Untuk pengetahuan sahabat- sahabat yang budiman, cerita ni tak habis lagi tau. Sengaja ana tak tulis semua di sini lagi.. Takut nanti kalian bosan pula. 

So, to be continue... Nantikan ye...

Isnin, 22 Ogos 2011

Ujian

Bismillah, walhamdulillah...
Setelah sebulan lamanya tidak berkesempatan untuk mencoret rasa dan berkongsi dengan sahabat- sahabat sekalian,, Alhamdulillah hari ini dan saat ini Allah menitipkan sedikit kesempatan untuk berkongsi sesuatu bersama kalian,, semoga menjadi ibrah kita bersama

Sebenarnya entri kali ini ana titipkan ketika mana terkenang teman- teman,, sahabat- sahabat seperjuangan di Madrasah dakwah dan tarbiyyah,, Sekolah Menengah Agama Kampung Laut... Entah kuasa apa membuatkan hati ini benar- benar dihambat rindu pada mereka,, kuasa ukhuwwah lillah,, mungkin??

Tak tersangka dalam kerinduan ini,, ada sahabat kami yang telah ditimpa bencana,, ujian yang benar- benar menggoncang perasaan, hingga hati ana juga agak terkesan..

2 hari yang lalu, keluarga sahibah kami, Nik Nur Syazwani Sakeri telah ditimpa kemalangan.. Emak dan seorang adiknya berusia 2 tahun kini ditempatkan di ICU.. Seorang adiknya berusia 7 tahun telah kembali ke rahmatullah... Innalillah wainna ilaihi rojiun...

Apa yang membuat ana kesal,, kemalangan ini memang bukan salah mereka sama sekali,, mereka hanya menjadi korban manusia yang hilang akal kerana meneguk air kencing syaitan!!!

Cerita yang ana dapati daripada sahibah ana, Aisyah...

Lebih kurang jam 7.30 pagi sahabat parking kereta di tepi jalan. Sahabat dan 3 org anak telah berada di dusun manakala 2 org anak masih dlm kereta (mereka selamat). Zaujah Pc Sakri dan 2 org anak berada di tepi jalan. Tiba-tiba ...datang pemandu muda yg mabuk dadah dari arah bertentangan terus melanggar mereka bertiga. (anak lori). Pemandu tersebut melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh polis.

Perkembangan terkini jam 2 pagi - Zaujah PC Sakri kini berada di hospital Kota Bharu. Segala tulang patah - tulang rusuk, tangan, betis, punggung dan pecah pundi kencing. Saluran pundi telah dimasuki darah dan terpaksa buat pembedahan. Separuh sedar. Agak kritikal. Manakalanya yg berumur 2 tahun kini dirawat di USM 2 Dekima ICU 1. Selepas di scan dan x ray tiada pendarahan dalam kepala dan tidak melibatkan kecacatan mana2 anggota. Masih lagi tidak sedarkan diri. Mungkin kesan ubat bius.

Ni berita yang ana peroleh 2 hari lepas...Dalam hati ana geram,, sedih.. bercampur baur.. Dan ana tahu andai ana pun merasa kepedihan seperti ini,, apatah lagi Syazwani yang menghadapi semua ini?? Tapi bila difikirkan,, ana sedar inilah ujian daripada Allah,,, ujian buat semua... untuk mengukur nilai keimanan.. Hanya Allah yang tahu hikmah di sebalik semua yang berlaku... 


Arwah yang berusia 7 tahun itu telah selamat dikebumikan semalam... Insyaallah akan menyambut kedatangan umi ayahnya di syurga kelak...Ya Allah,, perudahkanlah semua urusan,, kuatkanlah sahibahku ini Ya Allah.. 

Hanya ini yang mampu ana hulurkan,, secebis doa yang tak putus- putus agar Allah menguatkan mereka sekeluraga.. dan menguatkan hati ana juga...  Sehingga hari ini,, ana masih gagal menghubungi Syazwani.. Dan ana cuma terus berdoa agar umi nya pulih seperti sediakala...

Peristiwa ini memang memberi ibrah yang besar pada diri ana.. Betapa kematian itu memang tidak mengira usia,, sesuai dengan janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati,, apabila telah datang kepada mereka waktu ajal mereka,, nescaya tidak ada yang dapat mencepatkan atau melewatkan waktu kematian itu walau sesaat cuma...

Semoga Allah merahmati roh adik Syazwani,, untuk pengetahuan sahabat- sahabat sekalian,, arwah masih tidak tinggal puasa pada Ramadhan kali ini hinggalah kemalangan itu merenggut nyawanya... 


Ni lah gambar kenangan kami, puteri generasi ke 4 Sek Men Agama Kampung Laut... 


Syazwani yang duduk di tengah- tengah gambar,, bert-shirt labuh hijau muda dan tudung kuning air,, sayu bila lihat wajahnya,, moga Allah kuatkan dia... Amin...






Ibrah seterusnya,, kita semua adalah milik Allah,, bila Allah menghendaki,, nescaya bila- bila sahaja Dia boleh mengambilnya semula.. Ibu bapa, sahabat- sahabat, isteri, suami, anak- anak, harta bahkan seluruh yang ada pada diri kita hanyalah pinjaman dari Allah semata-mata...  Lalu kita harus persiapkan diri untuk menghadapi sebuah kehilangan,, walaupun ia memang memeritkan... 


Akhirulkalam,, ana meminta pada semua yang membaca entri kali ini,, sedekah kan al fatihah buat arwah adik syazwani.. dan doakan kesejahteraan umi dan adiknya yang kini sedang dirawat di ICU... 

Juga buat mereka yang kini memegang lesen memandu di tangan, jadilah pemandu berhemah... Jangan jadikan lesen memandu sebagai lesen untuk kalian berbuat sewenang- wenangnya... Jangan biarkan mereka yang tidak berdosa menjadi mangsa...


Sekian entri kali ini,, 
Wassalam...

Jumaat, 8 Julai 2011

Sekadar Peringatan

 Bismillah....

Sekadar perkongsian buat yang mereka yang berduka,,,

Bila kau telah merasai kekosongan,,,
Dalam menjalani detik- detik kehidupan ini...
Ketahuilah bahawa dirimu telah jauh dariNya
Allah tidak pernah meninggalkan mu
Jika kau tidak meninggalkanNya
Milik mukmin yang bertaqwa...

Dan tika mana kemanisan cintaNya telah kau kecapi
Nescaya kau tidaka kan merasa sunyi
Jika ditinggal sendiri oleh mereka yang kau cintai

Semoga manisnya cinta Ilahi dapat kita raih....

SWeEt 4th GeNErattion SAhiBah SMA KG LAUT

AiSyah
AmiRaH
Anis
BaZilaH
FatOnaH
HaWa
aDieBah
FatiN
ShahIdah
ShaziYah
SoLehAH
SyA
SyaZwaNi
AtiQah
HaNa'
SaRAh
SItI
SaUdaH
YuMNi
ZaTUl
IRa
UhiBBuKUnna FillaH AbadaN aBadA...