AHLAN WASAHLAN

Salam Ihtiram buat para pengunjung yang sudi berkunjung ke laman ini. Semoga kalian mendapatkan sesuatu yang bermanfaat setelah meninggalkan laman ini. Sebarang cadangan dan komen yang membina adalah amt dialu- alukan dalam rangka berhijrah ke arah yang lebih baik... Mari bersama kita kejar manisnya Cinta Ilahi.. Insya Allah

Halaman

Khamis, 30 Ogos 2012

Meraih Keberkatan Syawal



تقبل الله منا ومنكم
-Semoga Allah menerima amalan saya dan amalan kalian-

Bismillah walhamdulillah. Saudara- saudara yang dirahmati Allah s.w.t sekalian. Salam penghormatan, salam kasih sayang dan salam kemaafan saya himpunkan kepada kalian dalam lafaz Assalamualaikum w.b.t. 

Kemeriahan Syawal masih lagi terasa maka rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin kepada semua sahabat yang membaca coretan saya kali ini. Semoga Aidil Fitri  ini memberi sesuatu yang lebih beerti apabila kita mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t. Insya Allah.

Sahabat- sahabat yang saya muliakan,

Dalam keseronokan kita meraikan kemenangan di bulan Syawal ini, tidak lupa juga kita berharap kepada Allah s.w.t agar madrasah Ramadan yang telah kita lalui sebelum ini membawa barokah dalam kehidupan kita. Sudah tentu kehadiran Syawal ini juga diharapkan terus  dinaungi keberkatan daripada Allah s.w.t.  Justeru, inilah topik yang ingin saya bincangkan dalam ruangan kali ini iaitu “Meraih Keberkatan Syawal”
Sebenarnya, topik ini saya kongsikan setelah mendengar sajian rohani daripada Ustazah Noorhafizah Musa menerusi rancangan Tanyalah Ustazah. Saya kira ia sangat penting untk kita sama- sama mengambil berat akan perkara ini agar kita tidak terasing daripada rahmat dan keberkatan Allah s.w.t.

Sahabat- sahabat yang dicintai Allah,

Sekiranya Ramadan bertujuan membentuk kita menjadi hamba Allah yang bertaqwa, maka apakah pula kepentingan Syawal kepada kita? Adakah bulan Syawal ini wujud semata- mata untuk kita bergembira?

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah s.a.w  telah pergi ke Madinah ketika mana penduduknya sedang meraikan 2 hari perayaan yang besar )menurut  kebiasaan nenek moyang mereka). Lalu Rasulullah s.a.w bersabda : Sesunnguhnya Allah telah menggantikan 2 hari ini dengan 2 perayaan yang lebih baik iaitu hari raya I’dul Fitr dan I’dul Adha.

Hakikatnya fitrah manusia memerlukan masa untuk bergembira, lantas Allah yang paling memahami fitrah makhluk ciptaanNya mewujudkan perayaan yang besar untuk umat manusia yang beragama Islam khususnya.  Justeru tidak ada salahnya kita meraikan Syawal dengan penuh kegembiran asalkan ia selari dengan lunas- lunas syariat Allah.

Akan tetapi, ada sesuatu yang lebih besar untuk kita capai sebagai kesinambungan kepada madrasah Ramadhan yang telah kita lalui sebulan lamanya. Hal ini penting bagi menjamin keberkatan yang berpanjangan dalam kehidupan kita yang mana telah kita usahakan untuk mendapatkannya pada bulan Ramadhan yang lalu. Perhatikan firman Allah s.w.t dalam surah al- Baqarah ayat 185 yang bermaksud:
Bulan Ramadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia, dan penjelasan- penjelasan mengenai petunjuk itu dan membezakan antara yang haq dan batil. Kerana itu, barangsiapa di antara kamu yang ada pada bulan itu, berpuasalah. Dan barangsiapa yang sakit atau dalam perjalanan (dia tidak berpuasa) maka( wajib menggantinya) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari- hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjuk yang diberikan kepadaMu  dan moga- moga kamu bersyukur.   

Sahabat- sahabat yang berhubung atas dasar iman,

Inilah nilai yang ingin kita capai pada bulan Syawal ini. Jika Ramadhan mendidik kita untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa, maka Syawal hadir untuk mentarbiyyah kita menjadi hamba Allah yang bersyukur. Bersyukur dengan segala kurniaan yang telah Allah limpahkan kepada kita di bulan Ramadhan. Saat degup jantung kita menjadi tasbih, saat amalan yang sedikit pahalanya menjadi berbukit, saat dianugerahkan Allah padanya malam al Qadr, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan, saat Allah masih lagi mengizinkan kita untuk beroleh barakah pada bulan yang mulia itu, lantas dipanjangkan pula usia kita untuk meraikan kemenangan dan merayakan I’dul Fitr. Alhamdulillah. Terima kasih Ya Allah. Maka sudah tentu penting untuk kita menzahirkan kesyukuran kita kepada Allah dengan berusaha untuk mengekalkan nilai keberkatan di bulan Ramadhan dan berusaha pula untuk meraih keberkatan di bulan Syawal.

Apakah itu keberkatan? Mengapa pentingnya keberkatan dalam kehidupan kita? Mari kita lihat satu analogi tentang persoalan ini. Ikan fitrahnya hidup di tempat yang berair. Apa yang akan terjadi sekiranya ikan yang sepatutnya tinggal di kawasan berair kita campakkan ke darat? Ia cuba bertahan, namun semakin lama semakin lemah, menggelupur kesakitan lantas akhirnya mungkin tercampak ke dalam kuali kita untuk dijadikan hidangan. Begitu juga manusia. Keberkatan adalah fitrah yang sangat diperlukan oleh manusia. Tanpa keberkatan, tiada ketenangan yang akan dicapai. Akhirnya perlahan- lahan jiwanya melemah dan mati kerana kekosongan.

Menurut Imam Ar- Raghib Al Asfahani berkat ini membawa makna berterusan tetapnya kebaikan Ilahi kepada sesuatu perkara.  

Syawal kita akan menjadi berkat apabila segala penyucian jiwa, kelembutan hati dan amalan- amalan yang telah kita laksanakan pada bulan Ramadhan berpanjangan  pula ke Syawal dan sepanjang tahun.
Antara amalan- amalan sunat yang boleh kita lakukan untuk menghidupkan Syawal bagi meraih keberkatan adalah :

·         Menghidupkan malam pertama Syawal dengan ibadah.

Malam pertama Syawal telah berlalu. Sekiranya kita tidak berpeluang melakukannya pada tahun ini, maka berdoalah kepada Allah agar dipanjangkan usia untuk bertemu lagi dengan malam pertama Syawal untuk kita melaksanakan ibadah di dalamnya.

Rasulullah s.a.w bersabda:
‘Barangsiapa yang menghidupkan malam pertama Syawal, maka Allah akan menghidupkan hatinya di saat semua hati mati.
Menurut Prof Dr Wahbah Zuhaili, meskipun hadis ini dihukum dhoif pada sanadnya, namun hadis dhaif boleh diamalkan dalam hal yang berkaitan dengan فضائل الأعمال
·     
            Solat sunat hari raya
·        
            Memperbanyak sedekah.

Mereka yang berkemampuan bolehlah mengadakan rumah- rumah terbuka untuk mengeratkan silaturrahim bersama kaum keluarga, saudara mara, dan sahabat handai. Di samping itu, amat digalakkan untuk menggembirakan anak- anak yatim atau orang- orang tua dengan sedikit sumbangan atau jamuan bagi meraikan Aidil Fitri.
·       
          Budaya berziarah

Abu Hurairah menceritakan, ada seorang lelaki telah menziarahi temannya yang tinggal jauh darinya di tempat lain, lalu Allah s.w.t mengutus seorang malaikat untuk mengawasi perjalanan lelaki itu. Ketika sampai di tempat yang dituju, malaikat yang menyamar sebagai manusia tadi datang bertemu lelaki berkenaan dan bertanya,
“Kamu mahu bertemu siapa dengan berjalan dalam keadaan sebegini jauh?”
Lalu dijawab oleh pemuda tersebut, “Saya ingin bertemu sahabat saya”
Malaikat bertanya lagi, “Apakah demi mendapatkan sesuatu daripadanya?”
Lelaki itu menjawab, “Tidak, saya hanya mengasihinya kerana Allah dan berhajat menemuinya”
Malaikat lalu memberitahu , “Oleh kerana itu, Allah mencintaimu sepertimana kamu mencintai saudaramu.”

Subhanallah, alangkah hebatnya sekiranya kita dapat menjadikan ziarah kita ke rumah sahabat- sahabat  atau saudara mara kita bukan untuk mendapatkan sesuatu daripada mereka tetapi disandarkan rasa cinta kepada mereka kerana Allah s.w.t. semata- mata.
·          
      Puasa sunat enam hari
Daripada Abi Ayyub r.a sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda :
“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kemudian diikutinya dengan puasa 6 hari di bulan Syawal, baginya seakan- akan (pahala) berpuasa setahun.”

Petanda telah kembalinya seseorang itu kepada fitrahnya sempena hari I’dul Fitr dan meraih keberkatan berpanjangan di bulan Syawal ini boleh kita rujuk di dalam surah at- Taubah ayat 112. Antara ciri- cirinya ialah:


o   Orang- orang yang sentiasa bertaubat kepada Allah
o   Orang- orang yang sentiasa beribadah kepada Allah
o   Orang- orang yang memuji Allah
o   Orang- orang yang merantau demi ilmu dan agama
o   Orang- orang yang rukuk dan sujud kepada Allah
o   Orang-orang yang menyeru kepada makruf dan mencegah yang mungkar 
    Orang- orang yang memelihara hukum- hukum Allah


Sekiranya ciri- ciri ini telah wujud pada diri kita sepanjang Syawal ini, Alhamdulillah keberkatan Ramadan telah kita peroleh berpanjangan hingga ke saat ini dan semoga berkekalan hingga kita bertemu Allah s.w.t.

Sahabat- sahabat yang dirahmati Allah

Persoalannya bagaimana untuk kita memastikan kelangsungan barakah ini dalam kehidupan kita? Insya Allah terdapat dua perkara penting yang boleh kita lakukan iaitu janganlah kita cenderung kepada orang- orang yang lalai hatinya kerana dikhuatiri kelalaiannya itu akan menjebak kita bersama untuk melakukan kejahatan lantas mencabut barokah Allah ke atas kita.

Kemudian, hendaklah kita berusaha untuk istiqomah dengan amalan- amalan soleh yang telah kita usahakan di bulan Ramadhan. Ikhlaskan niat lakukan segala- galanya kerana cinta kita kepada Allah. Semoga rahmat dan kesejahteraan Allah bersama kita.

Akhirulkalam, mari kita renungkan kata- kata ahli sufi wanita ini, semoga cinta Allah dapat merasuk hebat ke dalam jiwa kita.
Kekasihku tidak ada yang dapat menandingiNya
Sekalipun Kekasihku tidak dapat ku pandang dengan mata
Namun Dia tetap hadir bersama degup jantungku
Dia kusanjung dan kupuja
Sekalipun ada orang lain di sampingku
Rindu jiwa dan hatiku
Aku persembahkan hanya untukNya

Ahad, 26 Ogos 2012

UKUR IMAN KITA


Situasi 1
“ Sabarlah Faiz, Allah sayangkan kau.” Lembut Ahnaf memujuk sahabatnya yang gagal dalam peperiksaan.
“Kau cakap senanglah, kau tak gagal. Kau tak rasa apa yang aku rasa.” Balas Faiz.

Situasi 2
“Sabar Ain, ini semua fitnah. Allah akan tolong nanti” Afina cuba menenagkan sahabatnya yang difitnah mencuri di asrama.
“Fina, kenapa Allah uji aku macam ini? Apa dosa aku?” keluh Ain dengan linangan air mata.

Sahabat- sahabat yang saya cintai kerana Allah, beginilah antara ucapan yang meniti di bibir kita apabila ditimpa musibah. Betulkan? Kita terasa lemah yang amat, rasa tidak lagi dipandang Allah, tidak lagi disayangi Allah. Dunia seakan- akan sudah berakhir, kelam dan tidak ada lagi jalan keluar. Allahuakbar! Inilah realiti iman kita.

UJIAN KAYU UKUR KEIMANAN.
Kita manusia, selalu terlupa. Lupa pada kalam Allah yang bermaksud:
“Dan pasti akan Kami uji kamu semua dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah- buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang- orang yang sabar.”
“iaitu orang- orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan:
(Sesungguhnya dari Allah kami datang dan kepadaNya jua kami akan dikembalikan)”
“Mereka itulah yang memperoleh rahmat dan ampunan dari Tuhannya dan mereka itulah orang- orang yang beruntung”

Subhanallah. Kalau kita benar- benar memerhatikan susun atur ayat ini, bergetar hati kita merasakan luasnya rahmat dan kasih sayang Allah. Bukan sengaja Dia menitipkan ujian, bersama kesusahan itu disertakan pula peluang untuk kita lebih hampir kepadaNya dan merasai kemanisan iman. Penyayangnya Allah kepada kita kan?

Namun, sejauh mana musibah yang kita terima menjadikan kita lebih dekat kepada Allah? Sejauh mana ujian yang dikirim oleh Allah menjadi kaffarah kepada dosa- dosa kita yang tak terhitung banyaknya?
Saya sendiri kadang- kadang tewas, tewas dengan ujian. Ujian selalu menggugah keimanan. Seringkali saya tertanya- tanya, apakah resepi untuk menjadi hamba yang sabar, redha, dan bersyukur kepada Allah?  Dulu, saya tidak punya jawapan. Tapi Insya Allah saat ini, saya sudah ada jawapannya. Sebuah jawapan yang membuatkan saya berazam untuk cekal mengharungi apa sahaja ranjau dalam kehidupan ini.

MATLAMAT UTAMA KITA
Sahabat- sahabat yang saya cintai lillahi taala, hari ini saya ingin memberitahu sesuatu pada kalian. Di sini, bukan sifat sabar, redha, dan syukur ini menjadi matlamat utama yang hendak kita capai. Ketiga- tiga sifat ini adalah hasil daripada sesuatu yang sangat besar, yang sangat susah untuk kita miliki sebenarnya melainkan dengan mujahadah yakni kesungguhan untuk memperolehnya.

Itulah dia nilai KEIMANAN. Soal utama kita di sini adalah sejauh mana keyakinan, kepercayaan, keteguhan ikatan kita dengan Allah s.w.t.  Sifat sabar, redha, dan syukur  adalah manifestasi kepada sebuah keimanan yang teguh kepada Allah.

Sahabat, saya mengerti ianya sukar, bukan sahaja bagi kalian malah bagi diri ini juga. Tetapi ini jalan yang harus kita tempuh. Meski pahit di dunia, moga tidak ada lagi secebis pun derita di akhirat sana.
Kita adalah musafir yang sedang menuju negeri abadi. Kembara kita belum berakhir. Dunia adalah stesen perhentian untuk kita mengutip bekalan. Sudah tentu banyak sekali ujian dan halangan. Namun, tidak harus untuk kita patah hati kerana Allah sentiasa di sisi. Apalah sangat ujian yang kita hadapi jika dibanding dengan mehnah yang melanda para anbiya’ al mursaliin?

Mari sama- sama kita tersenyum untuk menghadapi dunia ini. Semoga segala penat lelah kita, sakit pedih hati, jerih perih diri dibayar oleh Allah dengan sesuatu yang lebih indah dan manis.
Kegembiraan apakah yang lebih besar selain mendengar Allah menyeru nama kita dan berkata : Wahai hambaku, aku redha kepadamu dan masuklah ke dalam syurga dengan rahmatku.”

SWeEt 4th GeNErattion SAhiBah SMA KG LAUT

AiSyah
AmiRaH
Anis
BaZilaH
FatOnaH
HaWa
aDieBah
FatiN
ShahIdah
ShaziYah
SoLehAH
SyA
SyaZwaNi
AtiQah
HaNa'
SaRAh
SItI
SaUdaH
YuMNi
ZaTUl
IRa
UhiBBuKUnna FillaH AbadaN aBadA...