‘Hadirnya cinta seolah mengirim nafas baru kepada kehidupan. Namun
bermaknakah cinta sesama makhluk andai tidak seiring redha sang Khaliq Cinta?
Ya Allah, jadikan cinta kami kepadaMu sebagai cinta yang terulung agar dapat
kami mencintai makhlukMu sekadar apa seadanya.’
Allah yang menghembuskan cinta pada diri manusia. Atas dasar cinta,
bertautlah hati Adam dan Hawa. Dan di atas dasar cinta, lahirlah generasi yang
mewarnai wajah dunia.
Alhamdulillah. Allah menganugerahkan kepadaku rasa cinta. Dengan cinta
yang Dia kurniakan, aku mengecapi segala nikmat yang tak terhitung banyaknya,
“Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan
terhitung”
Kerana cintaNya, aku hidup. Hidup dengan nikmat Iman dan Islam. Hidup dalam
jagaan, perlindungan dan kasih sayangNya. Dilimpahi ku dengan kebahagiaan. Memiliki
sebuah keluarga yang bahagia, memiliki sahabat- sahabat yang setia. Betapa luasnya
kasih sayang Allah, terlalu sehingga aku tak mampu mengukirnya dengan kata-
kata. Andai dihimpunkan sejuta orang penyair terhebat alaf ini untuk
mengungkapkan kebesaran cintaNya, betapa aku pasti ia tidak akan pernah dapat
tergambar!
Kadang- kadang dihadiahi aku dengan kesusahan, kesakitan, kepedihan,
kesedihan. Oh bukan untuk menyeksa aku sebenarnya, tapi sebagai tanda ingatan
yang tak pernah putus dariNya. Mungkin aku terleka diulit nikmat, lalu dihantar
sedikit ujian untuk mengetuk hatiku dari terus lena dan jauh daripadaNya. Sungguh
lisanku kelu untuk mengungkapkan bagaimana agungnya cinta Dia kepadaku!
Aku bukan wanita sufi seperti Rabiatul Adawiyah. Begitu tulus mencintai
RobbNya. Namun aku pelajari banyak falsafah cinta daripadaNya. Terlalu jauhnya
perbezaan antara aku dan dia. Saat dia menyerahkan seluruh cinta yang ada pada
dirinya kepada Yang Maha Pencipta, aku masih lagi terikat dengan cinta kepada
makhlukNya.
‘Jika aku menyembahMu kerana takut kepada
api nerakaMu, maka bakarlah aku di dalamnya. Jika aku menyembahMu kerana tamak
kepada syurgaMu, maka haramkanlah aku daripadaNya. Tetapi jika aku menyembahMu
kerana kecintaanku kepadaMu , maka berikanlah aku balasan yang besar. Berilah
aku keizinan untuk melihat wajahMu Yang maha besar dan Mulia itu.’
Aku tidak sekuat wanita sufi ini, bersendirian untuk meraih cintaNya. Maka
aku memilih untuk mencari pemilik tulang rusukku bagi menyempurnakan perjalanan
cintaku kepadaNya. Aku memilih untuk mencintai dia yang memperhebat diri dalam
mencintai Tuhannya agar dapat aku menumpang cinta miliknya untuk meraih cinta
yang pertama dalam hidup ini.
Demi Allah, dia tidak perlu bersusah payah menzahirkan cintanya kepadaku
dengan limpahan harta atau kekayaan, tidak perlu menambat hatiku dengan gaya
dan ketampanan. Bukan itu yang aku harapkan! Yang ku impikan dia mengerti
kedudukannya sebagai seorang lelaki, anak, suami, dan abdi kepada Ilahi. Apa yang
benar- benar aku inginkan, dia berusaha untuk meluruskan aku dengan penuh hikmah
dan sabar di saat aku bengkok dari landasan mustaqim. Malah dia siap memiliki
usaha untuk mencontohi Rasulullah walau aku tahu tidak akan ada manusia yang
dapat menandingi Rasulullah. Semoga dia dapat mencintai aku dengan segala
kelebihan dan kekurangan yang aku ada lantas memimpin aku menjadi abdi yang
tulus mencintai Tuhanku.
‘Ya Allah, bukan ku minta seorang akhi yang sempurna untuk menemaniku
lewat perjuangan ini, kerana aku seorang ukhti yang penuh kelemahan, serba
kekurangan. Namun aku berharap untuk mencintai segala kelebihan dan kekurangan
yang dia ada lantas menjadikan kami saling menyempurnakan antara satu sama lain
di mataMu.
Ya Allah, aku memerlukan dia untuk memperteguh cintaku kepadaMu dan
semoga kehadiranku dalam hidupnya juga akan memperteguh cintanya kepadaMu. Aku berdoa
semoga dia mampu membuatku tersenyum untuk melalui hari- hari yang penuh mehnah
dan ujian hingga aku juga mampu untuk menjadi penawar kepada hatinya saat
kesedihan atau keresahan.’
Saat ini, aku masih tidak bertemu pemilik tulang rusukku. Aku juga tidak
berlelah untuk mencari dan terus mencari kerana aku yakin, bila saatnya aku dan
dia telah siap, Allah akan mengatur pertemuan kami dan ku harap pertemuan itu
dalam nuansa yang indah, penuh barakah. Aku ingin bermujahadah menjaga hati
meskipun payah moga dapat ku hadiahkan seluruh cintaku nanti kepada ‘dia’ yang
tertulis. Ya Allah, bantulah aku memelihara hati.
Walau apa pun, Allah adalah cinta pertamaku kerana dengan cinta Allah
aku hidup dan terus bertahan di muka bumi ini. Hanya Allah yang tidak pernah
berhenti mencintaiku, menemaniku, dan menyayangiku setiap waktu. Ya, hanya
Allah cinta pertamaku!
Maka, aku akan besederhana dalam mencintai makhlukMu termasuk ‘dia’ yang
telah kau tulis untukku. Hingga apabila ibu bapaku terpaksa meninggalkanku,
sahabat- sahabat terpaksa jauh daripadaku, dan dia juga pergi daripadaku, sama
ada secara rela atau terpaksa, hatiku telah siap untuk menghadapi semua ini. Kerana
aku tetap ada Allah yang mencintaiku.
Ya Allah, semoga cintaku kepadaMu tidak akan pernah layu, malah memekar
menghiasi ruang hatiku. Terima kasih atas segala cinta yang telah Kau anugerahkan.
CintaMu yang terindah.
1 ulasan:
nice post...
Catat Ulasan