AHLAN WASAHLAN

Salam Ihtiram buat para pengunjung yang sudi berkunjung ke laman ini. Semoga kalian mendapatkan sesuatu yang bermanfaat setelah meninggalkan laman ini. Sebarang cadangan dan komen yang membina adalah amt dialu- alukan dalam rangka berhijrah ke arah yang lebih baik... Mari bersama kita kejar manisnya Cinta Ilahi.. Insya Allah

Halaman

Jumaat, 23 Disember 2011

Bismillahirrahmanirrahim

Diari Wafa Siri 3


Keesokan harinya, melalui Muhaimin, seorang akhi di kuliahku yang juga merupakan salah seorang AJK Musolla Al Muttaqin, aku mendapat tahu duduk perkara yang sebenar. “ Wafa, ana langsung tak berniat nak memburuk- burukkan Z, tetapi memandangkan enti dah bertanya, dan enti juga menjawat jawatan yang kedua penting selepas Z, jadi ana rasa enti patut tahu.” Muhaimin menjelaskan kepadaku setelah aku membuka bicara merisik keadaan muslimin mengenai sejauh mana tindakan yang telah mereka lakukan untuk pelaksanaan Program Maal Hijrah yang akan berlangsung tiga minggu dari sekarang. Walaupun hakikatnya aku telah mengetahui serba sedikit daripada Z, firasatku menyatakan ada sesuatu yang tidak kena. Tidak mungkin masalah yang terjadi ini hanyalah disebabkan kesalahan semua ikhwan itu sahaja, sudah tentu mereka mempunyai alasan atas apa yang terjadi.

“Ok, enta cerita. Insya Allah ana dengar dan percaya.”

Aku bersuara untuk memberi keyakinan kepada Muhaimin bahawa aku bebas daripada sebarang prasangka buruk terhadapnya. Masakan tidak, Muhaimin telah ku kenali sewaktu di zaman persekolahan menengahku, aku tidak meraguinya kerana peribadinya yang bersih. Dia sukar didekati kerana sifatnya yang sangat pemalu, mungkin lebih daripadaku.

Hari itu, aku terpaksa menebalkan muka untuk bertanya dengannya kerana agak sukar untukku bertemu dengan AJK Musolla muslimin yang lain memandangkan hanya dia yang sekuliah denganku.

“Sebenarnya begini,….” 
Agak kekok, Muhaimin menjelaskan serba sedikit kepadaku. Tepat seperti yang ku jangkakan, masalah ini bukanlah berpunca daripada mereka para ikhwan, tetapi kebanyakannya adalah disebabkan oleh sikap Z yang aku rasa patut diperbaiki.

“Baiklah, syukran ya enta. Kalau enta mampu, cuba nasihatkan Z. Insya Allah, ana akan tolong setakat yang ana mampu.”

Aku menyatakan harapanku supaya Muhaimin dapat membantu. Aku tahu mungkin sukar baginya, disebabkan sifat pendiam dan pemalu yang wujud dalam dirinya itu, tetapi aku merasa harus memberikan sedikit kepercayaan kepadanya memandangkan kami pernah berada dalam rumpun tarbiyyah yang sama, juga di dalam satu jemaah. Sudah tentu dia lebih memahami jalan pemikiranku berbanding ikhwan yang lain.

Thahirah yang juga merupakan AJK musolla merangkap teman baikku di kolej matrikulasi ini tersenyum lucu melihat kelakuan Muhaimin yang sudah merona merah pipinya. Betul- betul terbalik dengan keadaan kami! Dahiku berkerut memikirkan jalan keluar. 

Tiba- tiba,Thahirah menepuk lenganku. Lamunanku putus seketika. Aku memandang Thahirah dengan pandangan yang kosong. Mataku mengisyaratkan soalan seolah- olah bertanya kenapa?

 “Muhaimin cakap, Insya Allah dia akan bantu awak. Dia tanya ada apa- apa lagi tak?”

Terkejut aku mendengar kenyataan Thahirah. Sejurus ku pandang Muhaimin. Wajahnya yang cerah sudah berubah warna.

“Ya Allah, maaf enta. *Jazakallah atas maklumat tadi. Assalamualaikum.”

Aku cepat- cepat berlalu kerana dihinggap rasa malu. Kalau terus di situ, mungkin aku sudah pengsan agaknya. Aku melangkah panjang- panjang meninggalkan tempat itu. Thahirah terkejar- kejar dan memanggilku supaya memperlahankan sedikit langkahku.

Setelah agak jauh daripada Muhaimin, aku memperlahankan langkah supaya Thahirah dapat bersaing denganku. Sebelum Thahirah melancarkan serangan amarahnya yang dibuat-buat, aku terlebih dahulu memulakan bicara,

”Alah, sorry la Thahirah, malu la tiba- tiba mengelamun tadi, tu saya jalan cepat- cepat. Sorry k"

aku membuat muka seposen, minta dikasihani.

“Wafa memang, dah kenal. Tak payah cakap tak apa. Ha, satu lagi. Tak payah nak buat muka kesian sangatlah,”

Thahirah sudah dapat membaca taktikku. Aku hanya tersenyum. Aku tahu, dia tidak ambil hati dan sekadar bergurau. Dia juga sudah mula memahami sikapku walaupun hanya beberapa bulan kami baru bersama.

Thahirah pada awalnya bukanlah bersekolah di sekolah agama, jauh sekali mendapatkan tarbiyyah Islamiyyah sebagaimana yang telah ku peroleh di madrasahku. Namun, hatinya yang berhajatkan pada kebaikan ternyata telah memautkan pula hatiku kepadanya. Makin hari, makin sayang semata- mata kerana Allah jua. Aku berazam untuk menjadi seorang sahabat yang baik juga menjadi mentari bukan sahaja kepada Thahirah, malah kepada ummah ini. Aku akui, masih banyak keaiban diri ini, masih bertompok karat- karat jahiliyyah yang melekat pada dinding hati, namun aku masih berharap untuk menjadi mentari yang tetap bersinar kepada ummah ini. Aku berazam untuk terus memperbaiki diri.

“Ha, mengelamun lagi ke Wafa? Jangan kata awak teringat kat Muhaimin pula,” 

Suara Thahrah separuh bergurau. Aku tidak ambil pusing. Kepalaku sedang ligat mengatur strategi.

“Bukan beranganlah sayang, tengah berfikir apa nak buat ni.”

Thahirah kagum dengan semangat Wafa. Walaupun hanya memegang jawatan yang kecil di kolej mereka, ketekunannya bekerja mengalahkan majlis perwakilan pelajar. Sahabatnya itu juga yang sering bersabar dengan kerenahnya sekiranya dia melakukan kesalahan. Sekiranya dia marah- marah atau naik angin, Wafa hanya mendiamkan diri untuk tidak mengeruhkan keadaan. Kadang- kadang, tekanan studi menjadikan Thahirah bersikap dingin, tetapi kesabaran dan kelembutan Wafa membuatkan Thahirah bertekad untuk mengubah sikap buruknya itu. Dia juga berazam untuk menjadi wanita solehah seperti sahabat yang dikaguminya itu. Masih terngiang- ngiang di telinganya sepotong hadis yang sering diulang- ulang oleh Wafa sebagai peringatan mereka bersama.

‘Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik- baik perhiasan adalah wanita solehah’

“Ish Thahirah, awak dengar tak saya tanya ni? Tengok dia pula yang termenung,” 

Aku hairan melihat tingkah sahabatku yang tiba- tiba mendiamkan diri.

“Kata-kata mukmin itu zikir, diamnya adalah fikir. Saya tengah berfikir betapa cantiknya susunan Allah.” 

Thahirah membalas hikmah.

Tersenyumku mendengarnya. Nampaknya sedikit sebanyak tarbiyyah itu telah mula mengesani jiwa sahabatku. Lafaz tahmid bergema di hati.

“Betul Thahirah. Aturan Allah cukup cantik. Setiap makhluk yang diciptakan mempunyai tujuan dan keistimewaan tersendiri.  Allah tidak pernah menjadikan sesuatu itu sia- sia. Apa sahaja yang ditetapkan pasti ada hikmahnya tersendiri.”  

Aku mengambil peluang untuk membajai jiwa sahabatku itu dengan mutiara tarbiyyah.

“Walaupun kadangkala ianya buruk pada pandangan manusia kan Wafa?” 

Thahirah menambah.

“Betul tu sahabat. Allah berfirman dalam surah al- Baqarah ayat 216 yang berbunyi,

 ‘Boleh jadi kamu membenci sesuatu, sedangkan ia baik bagimu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui’

“Walaupun ayat ini pada asalnya diturunkan kepada kaum muslimin yang tidak mahu berperang, tetapi kita boleh menjadikannya sebagai iktibar. Allah sudah mengatur yang terbaik bagi kita. Sama ada bahagia atau derita, susah atau gembira, berbekalkan keimanan kepada Allah, kita akan mampu menerima apa jua takdir Allah pada kita, Insya Allah.”

Perjalanan pada petang itu lebih bermakna apabila hati dibawa untuk mengingati Allah.

Ketika sampai di perkarangan asrama, Thahirah sempat berkata,

“Thank ye Wafa atas nasihat tadi dan terima kasih juga kerana sudi jadi sahabat saya” 

Ada keharuan pada nada itu.

Aku hanya membalas dengan anggukan diiringi senyuman. Ku tepuk- tepuk bahu sahabatku itu, menyalurkan sedikit kekuatan sebelum meneruskan perjalanan mendaki anak tangga untuk menuju ke bilikku di tingkat yang paling atas, tingkat 4.

Malam itu, aku mendapat SMS daripada Z lagi, menceritakan keadannya. Masih perkara yang sama. Aku sudah memikirkan jalan yang terbaik untuk menegur sikap Z. Tidak lain dan tidak bukan, mestilah melalui jalan yang hikmah dan bijaksana.

‘Dan serulah mereka ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan bijaksana. Dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik.

Z sebenarnya boleh dikategorikan sebagai lelaki yang baik. Dia selalu bersolat jemaah di musolla, gemar memberi bantuan kepada para pensyarah dan rakan- rakan sekelasnya, terutama pelajar muslimat. Mungkin niatnya baik, namun sikapnya itu tidak berapa disenangi oleh pelajar- pelajar muslimin yang lain, terutama pelajar- pelajar muslimin yang dikenali kerana kewarakannya. Pelajar- pelajar lelaki yang nakal pula menganggap Z sebagai kaki bodek dan sengaja mahu mendapatkan perhatian pelajar perempuan dengan kebaikannya. Begitulah cerita yang ku dengar daripada ahli dormitoriku yang kebetulan merupakan kawan sekelas Z.

Menurut Muhaimin, Z juga mendapat pendidikan di sekolah agama. Tetapi Muhaimin juga tidak dapat mengesan bagaimanakah bentuk tarbiyyah di sekolah lama Z. Antara sebab lain Z kurang disenangi oleh pihak muslimin adalah kerana Z sukar menerima pendapat atau cadangan orang lain. Dirinya sahaja yang difikirkan betul. Sekiranya hitam katanya, hitamlah jawabnya. Tidak ada sesiapa yang boleh membantah. Lebih- lebih lagi, apabila dia dilantik sebagai pengarah program dalam majlis sambutan Maal Hijrah ini, maka dia menggunakan kuasa vetonya untuk mengarahkan semua AJK mengikut arahannya tanpa mengambil kira pandangan atau pendapat yang diutarakan oleh sahabat- sahabat yang lain.

Tiba- tiba, aku tersedar sesuatu perkara. Ketika pelantikan ahli jawatankuasa program, hanya beberapa orang pelajar muslimin yang menyokong pelantikan Z. Z memenangi undian kerana majoriti pelajar muslimat bersetuju dengan pencalonannya. Aku terkecuali kerana aku tidak mengenali peribadi mana- mana AJK musolla muslimin selain Muhaimin yang merupakan sahabat lama di sekolah menengahku. Maka aku hanya mengambil keputusan untuk tidak menyokong semua calon muslimin yang dicadangkan semasa pelantikan tersebut dibuat.

Aku mula menyusun kata- kata yang baik untuk membalas sistem pesanan ringkas yang dihantar oleh Z. Aku mesti berhati- hati agar ucapanku tidak menyinggung orang yang dinasihati. Aku melihat Z dari sudut kaca mata dakwah dan apa yang dapat ku kesan, Z sebenarnya masih gagal memahami kepentingan sebuah jemaah dalam melaksanakan gerak kerja Islam.

“Sesungguhnya Islam itu bermula dengan seorang, iaitu Rasulullah s.a.w. Lalu baginda s.a.w membentuk sebuah jemaah yang dianggotai oleh kaum kerabat baginda dan para sahabat terdekat.  Kemudian dari jemaah yang kecil inilah yang membawa perubahan yang besar kepada dunia Islam.”

Ternyata banyak manfaatnya apabila sesuatu kerja dijalankan secara berjemaah.

“Ana teringat satu kata- kata hikmah daripada seorang ulama’: Kambing yang seekor lebih mudah diterkam serigala berbanding kambing- kambing yang berada dalam satu kumpulan.”

“Ertinya di sini, orang yang berseorangan dalam melakukan kebaikan khususnya akan lebih mudah dihinggap penyakit malas, lemah, dan putus asa serta dihanyutkan oleh arus jahiliyyah berbanding mereka yang berada di dalam jemaah untuk melaksanakan kerja- kerja Islam.”

Begitulah antara mesej- mesej yang ku sampaikan kepada Z. Aku berharap sedikit sebanyak ia dapat mengetuk pintu hatinya untuk berubah.

“Sekiranya seseorang itu mendapat hidayah lantaran kamu, maka kurnia bagimu adalah lebih baik dari seluruh dunia dan seisinya.”

Aku memandang Z sebagai madu’ yang berpotensi besar untuk menyumbangkan tenaganya kepada dakwah Islam sekiranya mendapat kefahaman Islam yang sebenar. Aku tak lupa meminta pandangan sahibah- sahibah seperjuangan di sekolah lamaku. Lalu, salah seorang daripada sahibahku, Humairah mencadangkan agar aku memperkenalkan Z dengan bekas pelajar muslimin yang begitu alim dan berwibawa di sekolahku dulu, Asyraf Saifullah. Umur kami sebaya. Sahabat kami yang lebih mesra dipanggil Saifullah juga merupakan bekas timbalan ketua pelajar di sekolahku. Akhlaknya dikagumi dan ucapannya sering membekas pada hati- hati mereka yang mendengar ucapannya. Jiwanya sarat semangat dakwah, kebijaksanaannya juga diakui kerana setiap kali peperiksaan, dia akan memegang tempat pertama malahan Saifullah juga merupakan pelajar SPM terbaik dalam ‘batch’ kami apabila berjaya mendapatkan 11A1 bagi sebelas mata pelajaran yang diduduki.

Dalam masa yang sama, aku semakin mengenali Z. Walaupun bersekolah di sebuah sekolah agama, namun sistem tarbiyyah di sekolahnya tidak dapat dikendalikan dengan baik kerana pertambahan generasi pelajar baru yang kurang memahami matlamat tarbiyyah yang dijalankan oleh pihak sekolah sedangkan generasi yang memahami sudah pun berkurangan setelah  bertebaran di serata tempat di atas muka bumi Allah.

Tanpa ku sedar, syaitan telah mula memperdayakanku. Aku yang selama ini agak sukar untuk berkomunikasi dengan lelaki begitu mudah membalas setiap pesanan ringkas yang dihantar oleh Z lewat telefon bimbitku. Aku terlupa bahawa matlamat tidak menghalalkan cara. Meskipun kebanyakan mesej yang dihantar lebih menjurus megenai persoalan agama, tetapi adakalanya terselit perkara- perkara yang tidak perlu dijadikan topik perbincangan antara yang bukan mahram. Sekali sekala, Z ada juga menghubungiku dan aku menganggapnya sebagai sahabat dan madu’ yang perlu dibantu.

Tidak cukup dengan itu, dia juga cuba menambahku ke dalam senarai temannya di Facebook, laman sesawang yang tidak ku nafikan sangat popular dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Facebook menjadi sesuatu yang bermanfaat sekiranya dijadikan medan untuk diskusi ilmu yang menyuburkan akal dan menyajikan rohani dengan tazkirah yang baik sebaliknya ia membuka lorong kepada kemaksiatan apabila kemudahan yang ada ini disalahgunakan.

Namun semakin lamaku sedar, hatiku mula rasa tak keruan. Gosip- gosip liar mula dicanang. Aku cuba buat tak peduli. Aku menganggapnya sebagai ujian di medan dakwah. Aku masih gagal untuk melihat bahawa itu adalah salah satu bentuk teguran daripada Allah s.w.t. kepadaku. Betapa gelapnya hatiku ketika itu.

Entah kenapa, semakin hari hatiku semakin resah. Aku diburu rasa bersalah.  Pelajaranku juga terganggu. Aku mencari ruang untuk muhasabah diri.

‘Tahukah antum, apakah yang boleh antum kenalpasti sebagai dosa? Dosa itu adalah apabila antum berasa bersalah ketika melakukan sesuatu dan antum tidak suka orang lain melihat antum melakukan perbuatan tersebut. Itulah dosa.’

Tiba- tiba, ucapan *murobbiku di zaman persekolahan dulu menjengah fikiran. Sewaktu itu, aku menghadiri ijtima' am, satu perhimpunan khas berbentuk ceramah umum yang dilaksanakan di sekolahku pada setiap hari jumaat dan wajib diikuti oleh semua pelajar daripada tingkatan satu sehingga di tingkatan lima. Selain membentuk halaqoh, di situ jugalah kami meneguk ilmu tentang Islam dan mengaut sebanyak mungkin mutiara- mutiara tarbiyyah sebagai bekal dalam perjalanan hidup yang masih panjang.

Hatiku terusik. Aku tergerak untuk memahami masalah *ikhtilat dengan lebih jelas. Aku ‘search’ di internet, membuka kitab- kitab *Imam- Imam Muktabar dan tiba- tiba aku teringatkan Saifullah. Nombor telefonnya ada dalam simpananku ketika mana dia menghantar mesej kepadaku meminta kepastian mengenai kehadiran ke program ‘reunion’ pelajar- pelajar ‘batch’ kami. Entah dari mana dia mendapatkan nombor telefonku tidak ku pasti, mungkin dia ada menyimpan ‘database’ semua pelajar Maahad Ibn Qayyim sewaktu menjadi timbalan ketua pelajar dahulu.

Serba sedikit ku ceritakan keadaanku kepada Saifullah melalui sistem pesanan ringkas. Tidak lama selepas itu, ku terima balasan.

‘Enti besederhanalah dalam perhubungan, jangan terlampau mesra dan jangan terlampau sombong. Jawab sekadar apa yang ditanya. Selalu duduk dalam kelompok sahibah sebab sahabat akan malu. Jaga hubungan dengan Allah dan waspada terhadap media henset dan internet.’

Masya Allah, kata- kata Saifullah memang sangat tepat dengan keadaanku. Ternyata dia benar- benar memahami situasiku. Aku lemah ketika mana dosa ini terasa begitu menyucuk- nyucuk jiwaku. Aku memberitahu Saifullah cadangan untuk memperkenalkan Z dengannya bagi memudahkan Z mendapat tarbiyyah Islamiyyah yang *syamilah. Aku tidak boleh membimbingnya kerana ia hanya akan menimbulkan fitnah pada kami dan juga masyarakat sekeliling yang sedang cuba ku bawa untuk menuju Islam.

Saifullah bersetuju membantuku. Ternyata berurusan dengan sahabat sefikrah lebih memudahkan. Tidak perlu banyak bicara, hanya sedikit kata- kata sudah menjadikan kami saling memahami antara satu sama lain kerana kami diproses dalam rumpun tarbiyyah yang sama. Itulah istimewanya sahabat- sahabat seperjuangan di madrasahku itu. Bagiku, mereka tiada galang gantinya. 

Program sambutan Maal Hijrah yang telah kami rencanakan akhirnya berlangsung jua dengan jayanya. Apa lagi yang hendak dipanjatkan kepada Allah selain kalimah kesyukuran. Walaupun program telah selesai, Z masih menghubungiku, membuatkanku semakin tidak selesa. Kemudian ku ambil keputusan untuk menjelaskan kepada Z ketidakselesaanku. Aku menerangkan kepadanya satu persatu agar dia memahami bahawa perhubungan antara lelaki dan perempuan itu adalah haram tanpa keperluan yang mendesak. Aku juga memberitahu niatku untuk memperkenalkannya dengan Saifullah kerana ku yakin, Saifullah akan membimbingnya dengan lebih baik. Bermacam- macam alasan yang diberikan oleh Z untuk menjawab setiap kenyataanku. Dia tidak membenarkanku memberi nombor telefonnya kepada Saifullah. Dia hanya mahu berhubung melalui Facebook. Aku cuba berbaik sangka.

‘Mungkin Z perlukan masa untuk menerima Saifullah’

Aku merasa kasihan kepadanya lalu masih berlembut. Tetapi dalam kelembutanku, ada ketegasan. Aku melarangnya menghubungiku sama ada melalui mesej atau telefon melainkan benar- benar ada urusan yang tidak dapat dielakkan.

Namun, laranganku tidak begitu diendahkan. Dia masih menghantar mesej yang ku kira boleh dibincangkan sesama yang mahram. Cadanganku untuk memperkenalkannya dengan Saifullah juga disambut dingin.

Aku kemudiannya cuba untuk mendapatkan bantuan Muhaimin bagi membimbing Z memandangkan dia adalah satu- satunya sahabat di madrasahku dahulu yang terdekat denganku kini. Namun, kesibukan dalam pelajaran telah dijadikannya sebagai alasan untuk tidak turun padang membantuku dalam kerja- kerja dakwah yang sememangnya memerlukan tenaga syabab sepertinya dalam situasiku sebegini sementara Z terus- terusan menggangguku. Hatiku sedikit tercalar dengan sikap Muhaimin, hanya pada Allah ku mengadu segala kesusahan yang ku hadapi. Ditambah pula dengan pelbagai cerita yang tidak enak sampai pada pendengaranku maka sudah tentu ia mencalarkan imejku sebagai seorang pembawa panji kalimah Allah. Aku tidak mahu Islam terfitnah kerana aku!

Akhirnya, tiada lagi istilah kelembutan. Buat kali terakhir ku angkat panggilannya, terlahirlah ketegasan pada suaraku. Ketegasan sepertimana aku menghadapi sahabat- sahabat muslimin di sekolahku dulu. Imanku yang telah lama menderita akhirnya mula bersuara. Setelah itu, ku 
menghantar mesej yang terakhir,

‘Maaf selama ini persahabatan kita tidak diredhai oleh Allah. Apabila berhubung seorang lelaki dan seorang perempuan tanpa keperluan yang mendesak maka syaitan adalah yang ketiganya. Matlamat kita adalah untuk mencari redha Allah, tetapi cara yang kita gunakan tidak selari dengan syariat. Inilah yang ana maksudkan matlamat tidak menghalalkan cara. Maka, syaitan telah menipu kita dengan istilah persahabatan ini untuk menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah. Maaf ana khilaf dan melibatkan enta. Sekiranya enta benar- benar hajatkan pada tarbiyyah, enta cari Saifullah. Ni nombor telefonnya, 0198382787. Ana tidak meninggalkan enta terkapai- kapai tetapi ana tinggalkan enta dengan seorang sahabat yang ana yakini agamanya dan jauh lebih baik dari ana. Jangan hubungi atau mesej ana lagi selepas ni. Cukuplah atas dosa- dosa semalam. Assalamualaikum.’


To be continue.. ^_^

 Glosari
1) Jazakallah: Terima kasih
2) Murobbi: Guru, Pendidik
3) Ikhtilat: Pergaulan( antara berlainan jantina)
4) Syamilah: Menyeluruh meliputi semua aspek
5) Imam- Imam Muktabar: Para Ilmuan Islam yang ulung

Tiada ulasan:

SWeEt 4th GeNErattion SAhiBah SMA KG LAUT

AiSyah
AmiRaH
Anis
BaZilaH
FatOnaH
HaWa
aDieBah
FatiN
ShahIdah
ShaziYah
SoLehAH
SyA
SyaZwaNi
AtiQah
HaNa'
SaRAh
SItI
SaUdaH
YuMNi
ZaTUl
IRa
UhiBBuKUnna FillaH AbadaN aBadA...